Saturday, December 29, 2012

Ciri-Ciri Kematian yang Diingini



السلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Firman Allah:
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang berjiwa/hidup akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.Ali Imran 185

Firmanya lagi:

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَيُرْسِلُ عَلَيْكُم حَفَظَةً حَتَّىَ إِذَا جَاء أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ تَوَفَّتْهُ رُسُلُنَا وَهُمْ لاَ يُفَرِّطُونَ
Dan Dialah yang mempunyai kekuasaan tertinggi di atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila datang kematian kepada salah seorang di antara kamu, ia diwafatkan oleh malaikat-malaikat Kami, dan malaikat-malaikat Kami itu tidak melalaikan kewajibannya.
Al-An'am 61

Saudara yang dirahmati Allah sekelian, setiap yang hidup pasti akan mati. Hanya kita tidak tahu bila atau dmana ajal akan menjemput kita.  Mari kita lihat berdasarkan hadis-hadis Nabi mengenai tanda-tanda kematian yang baik . Semoga akan memberi kita keinsafan akan hakikat kehidupan yang kembarnya adalah kematian

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
“Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah. Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.” Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.
Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

 
10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TB).
Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBadalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. 

 “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Saudara yang dirahmati Allah , lihatlah firman Allah mengenai kematian semoga akan menguatkan kita untuk mendapat keredaannya.

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan-Al-Jumuah 8

أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh.An-Nisaa 78


والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Monday, October 29, 2012

Kembalikan Kami Kedunia....


السلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Apa yang dinyatakan Allah didalam Al-Quran mengenai mereka yang telah mensia-siakan kehidupn dunia dengan tidak beriman semoga memotivasi kita untuk menggunakan baki hidup yang penuh berkah ini dengan sebaik mungkin dan tidak menjadi penyesalan seperti kisah-kisah yang digambarkan oleh Al Quran dibawah ini:

رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْهَا فَإِنْ عُدْنَا فَإِنَّا ظَالِمُونَ قَالَ اخْسَؤُوا فِيهَا وَلَا تُكَلِّمُونِ
"Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini, setelah itu kalau kami kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka sesungguhnya kami orang-orang yg zalim." "Duduklah kamu dengan kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata  kepadaku" (al-Mu'minun 107,108)

حَتَّى إِذَا جَاء أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحاً فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِن وَرَائِهِم بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ
Golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: "wahai Tuhanku, kembalikanlah daku supaya aku dapat mengerjakan amal soleh dalam perkara-perkara yg telah aku tinggalkan". Tidak! Mana boleh? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh sehingga hari mereka dibangkitkan semula. (al-Mu'minun 99-100)

إِنَّا أَنذَرْنَاكُمْ عَذَاباً قَرِيباً يَوْمَ يَنظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنتُ تُرَاباً
Sesungguhnya, kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya dan orang yang kafir akan berkata "alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amal dan menerima balasan)". (an-Naba' 40)

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَا
Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata: "Alangkah baiknya kalau kami dahulu taat kepada Allah serta taat kepada rasul Allah. (Al-Ahzaab 66)

وَلَوْ تَرَىَ إِذْ وُقِفُواْ عَلَى النَّارِ فَقَالُواْ يَا لَيْتَنَا نُرَدُّ وَلاَ نُكَذِّبَ بِآيَاتِ رَبِّنَا وَنَكُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi neraka, lalu mereka berkata : "Sekiranya kami dikembalikan ke dunia, kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami dan menjadilah kami dari golongan yang beriman". (al an'aam 27)

وَأَنذِرِ النَّاسَ يَوْمَ يَأْتِيهِمُ الْعَذَابُ فَيَقُولُ الَّذِينَ ظَلَمُواْ رَبَّنَا أَخِّرْنَا إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ نُّجِبْ دَعْوَتَكَ وَنَتَّبِعِ الرُّسُلَ أَوَلَمْ تَكُونُواْ أَقْسَمْتُم مِّن قَبْلُ مَا لَكُم مِّن زَوَالٍ
Dan berilah amaran kepada manusia yang ingkar itu jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut seruanMu, dan supaya kami menurut agama yang disampaikan oleh Rasul-rasul itu". "Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat demikian dan bukankah kamu telah bersumpah dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami sebarang perubahan ? (Ibrahim: 44)

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلاً
Dan perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya sambil berkata: "alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yg benar bersama-sama rasul? (al-furqaan 27)

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُؤُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحاً إِنَّا مُوقِنُونَ 
Dan jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami, kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami telah yakin.” (as-Sajadah: 12)

“Ya ALLAH, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka memberikan keampunan, maka ampunilah aku…”

Saturday, October 27, 2012

Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains



PENGENALAN BUKU



Tajuk Buku                              : Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains

Penulis                                    : Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Terbitan                                  : Pustaka Salam



Buku ini membincangkan persoalan tauhid menggunakan pendekatan sesuai dengan keadaan semasa. Menemukakan contoh-contoh supaya objektif yang dikehendaki dan digarapkan oleh al-quran serta disarankan oleh para ulama dapat dicapai. Ianya mengaitkan fakta agama dengan bukti daripada kejadian alam yang sememangnya terlalu banyak. Buku ini membahaskan ilmu tauhid yang membuktikan kebenaran akidah Islam berdasarkan sumber aqli dan naqli.



Pembaca akan mendapati beberapa fakta sains berkenaan alam sejagat ini yang belum diketahuinya. Penggunaan ayat al-Quran yang berkaitan dengan tajuk perbincangan kerana hanya ayat al_Quran yang dapat mensabitkan hujah akal dan memberi kesan kepada pemikiran secara paling maksimum.



RINGKASAN KANDUNGAN BUKU

Buku ini mempunyai tiga jilid yang digabungkan menjadi satu buku:



Jilid Satu

Fasal 1 : Ilmu Tauhid

Fasal 2 : Kepentingan ilmu tauhid dalam Islam

Fasal 3 : Kepentingan ilmu tauhid dalam kehidupan manusia

Fasal 4 : bagaimanakah kita mengenali Allah

Fasal 5 : Manusia hendaklah melihat kepada makanannya

Fasal 6 : Air yang terapung

Fasal 7 : Kita hidup dalam lautan udara

Fasal 8 : Kediaman dan kedamaian

Fasal 9 : Para rasul Allah dan bukti pengutusan mereka

Fasal 10 : Ringkasan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w

Fasal 11 : Kefasihan dan Balaghah Al-Quran

Fasal 12 : Al-Quran mendahului ilmu moden

Fasal 13 : Beriman dengan hari akhirat

Fasal 14 : Suasana hari akhirat

Fasal 15 : beriman kepada malaikat, kitab dan rasul

Fasal 16 : beriman kepada qadar



Jilid Dua

Fasal 1 : Kepentingan beriman kepada Allah dan rasul-Nya

Fasal 2 : Kepentingan beriman kepada Malaikat dan Kitab

Fasal 3 : Kepentingan beriman kepada Hari Akhirat dan takdir baik dan buruk

Fasal 4 : Tututan dan syarat

Fasal 5 : Makhluk Allah: Cerminan kekuasaan san sifat-sifat-Nya

Fasal 6 : “Pada diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan?”

Fasal 7 : Nikmat bergerak

Fasal 8 : “Makanan Kita

Fasal 9 : Dan Kami telah mengadakan lampu yang terang benderang”

Fasal 10 : Manusia memerlukan rasul

Fasal 11 : Kisah orang terdahulu

Fasal 12 : Dia mengetahui rahsia dan bisikan mereka

Fasal 13 : Kamu akan mengetahui kebenaran perkara yang diterangkan tidak lama lagi

Fasal 14 : Keajaiban al-Quran pada zaman ini

Fasal 15 : Kematian

Fasal 16 : Kehidupan alam barzakh

Fasal 17 : Keadaan hari kebangkitan



Jilid Tiga

Fasal 1 : Bahaya kekufuran

Fasal 2 : Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui

Fasal 3 : Addakah boleh dilihat merupakan syarat untuk beriman

Fasal 4 : Dia menjadikan bumi terbentang luas untuk kamu

Fasal 5 : Mengapa mereka tidak memandang ke langit

Fasal 6 : Allah Yang Maha Esa

Fasal 7 : Ikhlas dalam ibadat

Fasal 8 : Al-Asma’ Al-Husna

Fasal 9 : Pengakuan para ilmuan kurun ke-20

Fasal 10 : Ilmu al-Quran mendahului ilmu moden

Fasal 11 : Antara tanda kerasulan: berita gembira

Fasal 12 : Pertolongan Allah

Fasal 13 : Keraguan yang batil

Fasal 14 : Hakikat kehidupan





BIODATA PENULIS : SYEIKH ABDUL MAJID AZIZ AZ-ZINDANI



Sheikh Abdul Majid bin Abdul Aziz Az Zindani dilahirkan pada tahun 1938 di kampung Az Zuhbi, wilayah Ibb di Republik Yaman dan memperolehi pendidikan awal di Kuttab sebelum menyambung pelajaran di sekolah kerajaan di wilayah Aden. Selepas itu, beliau menamatkan pengajian di Fakulti Famasi Universiti Al Azhar di Mesir. Kerana minat yang mendalam terhadap ilmu agama, beliau mengambil kesempatan bertemu dan belajar dengan ulama-ulama besar Al Azhar dan tokoh-tokoh pelajar Yaman yang berada di sana seperti Az Zubairi dan Abduh Muhammad Al Mikhlafi.


             Seterusnya kembali ke Yaman di Sana'a dan dilantik sebagai seorang pendidik di Kementerian Pendidikan. Di sinilah beliau mula berminat untuk menulis kitab akidah berasaskan saintifik bersama sahabat-sahabat beliau yang lain. Hasil tulisan beliau telah dijadikan sukatan di sekolah rendah dan menengah di seluruh Yaman.


            Pernah dilantik menjadi tenaga pengajar di Arab Saudi. Ketika berada di Makkah, beliau telah mengasas Badan 'Ijaz Ilmu Sains Al Quran dan Hadis. Beliau juga merupakan pengasas Universiti Iman Yaman, Presiden Majlis Syura Perhimpunan Islah Yaman dan salah seorang pengasas Ikhwanul Muslimin Yaman.


           Hasil kajian yang dilakukan terutama dalam bidang sains telah mendapat perhatian dan beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Oum Darman, Sudan. Beliau juga berjaya menemui penawar bagi penyakit AIDS dan telah ditemu ramah oleh Al Jazeera. Kaedah perubatan beliau hanyalah menggunakan herba dan tumbuhan semulajadi. Kajian selama 15 tahun itu mampu mengubati pesakit AIDS dalam tempoh tiga bulan dan boleh merawat 15 pesakit dalam satu-satu masa.


        Syeikh Zindani juga pernah turun berjihad di Afghanistan bagi merealisasikan ucapan-ucapan beliau berkenaan jihad dalam majlis-majlis usrah kendalian beliau. Selain cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau juga seorang peniaga dan penternak yang berjaya. Syeikh Zindani sering menjadi sasaran musuh sehinggakan beliau disediakan kereta kalis peluru sebagai pakej keselamatan.


          Begitulah sejarah hidup secara ringkas Syeikh Zindani. Salah satu cetusan pemikiran Syeikh Zindani yang mengagumkan saya ialah perumpaan yang beliau beri antara orang yang beriman dan kufur.



PANDANGAN TENTANG BUKU INI



Lalat lebih hebat daripada kita. Para penyelidik mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkan nya segera kepada bahan lain. Sekiranya kita bunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan cari benda yang diambilnya, nescaya kita tidak akan dapat mencari benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada benda lain. Ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal lalat.


“…dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak akan dapat mengambilnya balik darinya…” (al-Hajj: 73-74)


Semut dapat mendengar dan bercakap. Al-Quran telah menyebut bahawa semut dibekalkan degan organ pendengaran dan percakapan. Ilmu entomology (kajian tentang serangga) saintis mendapati semut dibekalkan dengan organ pendengaran dan percakapan yang membolehkan mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Al-Quran menyebut hal ini yg bermaksud: Berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari” (an-Naml: 18)


Di akhir Ayat 25 Surah Ibrahim, Allah SWT menegaskan tujuan perbandingan dilakukan supaya kita berfikir dan mengkaji kepentingan akidah yang kukuh.


Orang yang mempunyai asas akidah yang mantap, seumpama pokok yang rimbun dan kukuh. Iman mereka umpama akar pokok yang mencengkam bumi dengan kuat sehingga tiada ribut, taufan atau angin yang mampu mencabutnya. Pohonnya yang rendang memayungi semua orang yang berada di sekelilingnya. Ia menghasilkan buah-buahan yang manis, enak berkhasiat dan menyegarkan. Bahkan buah-buahannya turut menjadi santapan kepada keluarga, rakan, jiran tetangga dan masyarakat.


Mereka tidak mudah digoyahkan oleh persekitaran yang negatif, tidak tumbang iman kerana desakan hidup atau habuan dunia. Apabila bekerja, mereka bekerja dengan amanah. Andai menjadi majikan, mereka menjadi majikan yang prihatin dan simpati terhadap pekerja bawahan. Sekiranya berniaga, mereka tidak akan mengamalkan rasuah atau penipuan. Mereka mengeluarkan zakat perniagaan dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.


Sebaliknya, orang yang tidak beriman atau tidak kukuh imannya ibarat pokok yang tidak berguna. Akarnya lembut hingga mudah tercabut. Dedaunnya terlalu sedikit untuk orang lain berteduh dibawahnya. Buah-buahan yang dihasilkannya juga tidak berguna kerana pahit, busuk dan tidak boleh dimakan.


Walaupun luarannya nampak hebat, tetapi dalaman mereka rosak. Apabila diberikan amanah memimpin, mereka mencabulnya demi mengejar nama dan pangkat. Jika berniaga, mereka menipu dan mengamalkan rasuah. Masyarakat sekeliling tidak mendapat manfaat daripada mereka, malah orang sekelilingnya menerima tempias bahana perbuatan jahat mereka.


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (an-Nisaa’ :58)


Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia merasai bahawa Allah s.w.t sebagai Rabbnya, jika meredai bahawa Islam ialah agamanya, dan meredai bahawa Muhammad s.a.w ialah seorang Nabi (Allah) (Hadis Muslim)


Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang mempunyai kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah masyarakat. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati sesseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif.

 Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi saw dan para Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati Akidah Islam yang sebenar. 

Jangan Berdukacita, Kalam ALLAH Ini Buatmu........

السلام علبكم و رحمة الله و بركاته


Kalam Alah sebagai sumber kekuatan dalaman bagi Mukmin. Allah adalah pencipta kita dan DIA adalah pencipta segalanya.  DIA mengetahui yang zahir dan yang batin.  DIA mengetahui apa yang terkandung di dalam hati lemah kita.  Dan DIA tidak pernah membiarkan kita terkontang-kanting tanpa panduan dan cara menyelesaikannya. Di dalam al-Quran yang mulia, Allah telah menyediakan semua jawapan terhadap persoalan manusia.  Tinggal kita sahaja, samada sombong atau tidak, samada mahu mengkaji atau tidak, untuk mendapat manfaat yang besar dari kata-kata Allah  di dalam kitab yang mulia tersebut.

Cuba renungi sebahagian dari jawapan-jawapan Allah  terhadap bisikan-bisikan yang selalu singgah ke dalam hati manusia yang sedang berdukacita ketika berhadapan dengan situasi sukar masing-masing.  Semoga dengan mengetahuinya, hati kita bisa menjadi tenang, insyaAllah.

1.Tatkala hati kita berdukacita bertanya ke dalam diri“Kenapalah aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?”

Sebenarnya Allah telah pun memberitahu kepada kita bahawa belum tentu apa yang kita idam-idamkan itu baik buat diri kita.  Allah berfirman:

    وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيـًٔا وَهُوَ خَيرٌ لَكُم ۖوَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيـًٔا وَهُوَ شَرٌّ لَكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
 “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”  (Surah al-Baqarah, 2:216)

2.Tatkala hati kita merungut terhadap ujian yang berat lalu berbisik “Kenapa ujian terhadapku seberat ini???”

 Allah telah pun berfirman di dalam al-Quran bahawa DIA tahu tahap kesanggupan dan upaya hamba-hambaNYA:

    لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت
“ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, 2:286)

3.Apabila insan rasa terhimpit dan dilanda kekecewaan yang teramat sangat dek ujian yang melanda, lalu menjerti di dalam hatinya “Bagaimana aku tidak kecewa???

Allah telah pun berfirman memberikan motivasi buat hati:

    وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu org yang beriman.” (Surah ali `Imran, 3:139)

4.Sedang kita berhadapan dilema menghadapi situasi sukar lalu hati kita berbisik kebingungan“Bagaimana harus aku berhadapan dengan semua ini???”

Allah telah pun berfirman memberikan panduan:

    وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, 2:45)

5.Tatkala manusia tertanya-tanya “Apa yang aku dapat daripada semua ini???

Jika bersabar dan redha dengan ketentuan taqdir, Allah telah pun menjawab dengan firmanNYA:

    إِنَّ اللَّهَ اشتَرىٰ مِنَ المُؤمِنينَ أَنفُسَهُم وَأَموٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri, harta mereka, dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah at-Taubah, 9:111)


6. Apabila kita rasa berseorangan dan tidak larat menghadapi ujian lalu hati kita berbisik “Pada siapalah hendak aku minta pertolongan???”

Ketahuilah bahawa Allah lah tempat kita menumpukan usaha memohon pertolongan.  Allah telah pun berfirman:

    فَقُل حَسبِىَ اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ ۖ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ العَرشِ العَظيمِ
“Maka katakanlah:  ”Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-NYA. Hanya kepadaNYA aku bertawakkal.”" (Surah at-Taubah, 9:129)

Maha Suci Allah, Segala Pujian BagiNYA yang sentiasa bersifat kasih dan sayang terhadap kita.  Kesemua jawapan-jawapan ini yang diperolehi dari kata-kata Allah di dalam al-Quran yang mulia bisa memberikan ketenangan dan kekuatan dalaman buat insan yang membaca dan memahanimya.  Ia menjadi bekalan buat diri dalam menempuhi jalan kehidupan yang panjang dan sementara ini.  Cukuplah Allah sebagai penolong dan tempat diserah segala urusan…

Wahai yang sedang berdukacita, tidak usahlah berdukacita kerana Allah sentiasa bersamamu dan menolongmu, jika dirimu bersabar.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Wahai Orang Berdosa, Jangan putus asa dengan Allah…


السلام علبكم و رحمة الله و بركاته
 
Apabila dikatakan ‘wahai orang berdosa’, bukan ditujukan kepada sesiapa melainkan kepada diri kita sendiri.   Kitalah orang berdosa itu.  Saban hari dan minggu, ada sahaja dosa yang dilakukan samada sengaja ataupun tidak sengaja.  Apatah lagi dosa-dosa lalu yang entah bagaimana, samada masih tertulis di dalam buku amalan ataupun sudah dimaafkan oleh Allah  Yang Maha Pemaaf dan Yang Suka Memberikan Kemaafan. Betapa lemah dan lalainya kita.  Kepadanya lah diharapkan hidayah dan taufiq.  Moga-moga dosa-dosa lalu, dosa-dosa hari ini dan dosa-dosa akan datang bisa diampuni olehnya.  Kerana DIA Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Dalam perjalanan kehidupan, kita kadang-kadang terlalai dan terpesona akan keindahan yang terlihat oleh mata kita.  Lalu sehingga melencong masuk ke jalan atau lorong yang salah.  Kita mungkin cepat atau lambat sedar bahawa jalan yang dimasuki itu jalan yang salah.  Namun, apabila tersedar bahawa jalan itu salah, janganlah pula pasrah lalu putus asa bahawa tiada harapan lagi untuk pulang ke jalan yang asal, iaitu jalan menuju keredhaan Allah.

Kita masih ada harapan untuk buat U-turn atau buat pusingan-U dan masuk kembali ke jalan sebenar.  Walau jauh mana pun telah kita tersesat, walau jauh mana pun kita telah terlencong, peluang untuk kembali ke jalan yang sebenar sentiasa terbuka dan malah amat dialu-alukan oleh Allah, Rabbul-Jalil.

Betulkah? Cuba lihat firman Allah  Yang Maha Mulia dan sabda Rasulullah  bagi mencetus semangat dalam hati kita bahawa peluang untuk orang-orang yang berdosa sentiasa ada untuk kembali kepadaNYA.

1)  ALLAH suruh kita bertaubat dalam firmanNYA:

    وَتُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Yang bermaksud:  “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah An-Nur, 24:31)

2)  Peluang sentiasa ada dan jangan putus asa.  ALLAH Ta`ala berfirman:

    قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُواْ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  (Surah az-Zumar 39:53)

3)  ALLAH sangat gembira apabila ada hambaNYA yang bertaubat dan mahu kembali kepadaNYA.  Dari Abu Hamzah Anas bin Malik radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Sungguh ALLAH itu lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang menjumpai kembali untanya yang hilang di tengah-tengah padang gurun.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat Muslim, dikatakan maksudnya:
“Sungguh Allah lebih gembira untuk menerima taubat hambaNYA ketika hambaNYA itu bertaubat kepadaNYA melebihi dari kegembiraan seseorang di antara kamu sekalian yang berkenderaan di tengah-tengah padang pasir kemudian haiwan yang dikenderaaninya itu lari meninggalkannya padahal di atas haiwan itu terdapat makanan dan minuman orang itu, kemudian dia berputus asa untuk dapat menjumpainya kembali.  Dia lantas berteduh di bawah pohon dengan membaringkan badannya sedangkan dia telah benar-benar putus asa untuk dapat menemui kembali haiwan yang dikenderaaninya itu.  Kemudian ketika dia bangkit tiba-tiba dia menemui semula haiwan yang dikenderaaninya itu lengkap dengan bekal yang dibawanya.  Kemudian dia segera memegang tali kekangnya lalu berkata dengan sangat gembira, “Wahai Allah, ENGKAU adalah hambaku dan aku adalah TuhanMU.”  Dia  tersilap  mengucapkan kalimah itu akibat terlalu gembira yang sangat-sangat.” (HR Muslim)

Lihat, betapa gembiranya Allah  apabila kita mahu kembali kepadaNYA.  Hadith di atas adalah perumpamaan yang dibawa oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan ia bisa menjadi motivasi buat kita apabila ada orang berbisik atau menyakat kita seperti “engkau ni tiada harapan dah nak bertaubat” atau seumpamanya.  Ketahuilah, Allah suka bahkan sangat gembira.  Justeru, pulanglah kepada Allah.

Taubat sentiasa terbuka luas selagi belum terjadi 2 perkara, iaitu: 1) Kematian dan 2) Matahari terbit dari arah barat (tanda besar Hari Qiamat)

4)  Allah sentiasa membuka peluang yang sangat luas  untuk hambaNYA bertaubat selagi matahari belum terbit dari sebelah barat, iaitu tanda besar hampir berlakunya Hari Kiamat dan sebelum kita meninggal dunia.  Dari Abu Musa `Abdullah bin Qais Al-Asy`ari radhiAllahu `anhu, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah senantiasa membentangkan tanganNYA pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu siangnya, dan membentangkan tanganNYA pada waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat pada waktu malamnya.  Yang demikian itu berlangsung terus sampai matahari terbit dari sebelah barat (sampai hari mahu Kiamat).”  (HR Muslim)

Dari Abu `Abdurrahman `Abdullah bin `Umar bin Khattab radhiAllahu `anhuma, dari Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:  “Sesungguhnya ALLAH Yang Maha Mulia lagi Maha Agung akan menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di kerongkong (sebelum sakaratul maut).”   (HR at-Turmudzi dan katanya hadith ini hasan)

5)  Allah sentiasa mahu memberikan keampunan kepada kita walau sebesar mana pun dosa kita, asal sahaja kita mahu kembali bertaubat kepadaNYA.  Daripada Anas bin Malik radhiAllahu `anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Allah  berfirman:
 “Wahai anak adam, sesungguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepada-KU, niscaya AKU akan mengampunimu dan AKU tidak akan memperdulikannya lagi.

"Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu memenuhi seluruh langit, kemudian engkau memohon ampun padaku, niscaya AKU akan mengampunimu".

"Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaku dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menjumpai-KU dalam keadaan tidak berbuat syirik dengan apapun niscaya AKU akan datang kepadamu dengan pengampunan sepenuh bumi pula.”  (HR Tirmidzi, beliau berkata hadith ini hasan)

Walau jauh mana pun dikau tersasar dan terlencong, kembalilah. Kembalilah ke jalan menuju Allah. Allah sayang kita.

Bukankah kalam-kalam mulia lagi benar di atas akan menyegarkan hati kita? Bukankah dengan membacanya terbit cahaya memancar menyinarkan harapan?  Ayuh, jangan tunggu lagi.  Kita tidak tahu saat bila umur kita akan berhenti.  Dan kita juga tidak tahu bilakah matahari akan terbit dari arah barat yang menandakan dunia ini akan mati. Disebabkan kita tidak tahu, jadi penangguhan terhadap taubat adalah suatu yang sangat merbahaya.  Ia bisa menerjah tiba-tiba pada saat kita tidak bersedia dan tidak sempat bertaubat.

Janganlah termakan kata-kata hinaan rakan atau keluarga yang mengatakan kita tiada peluang untuk bertaubat.  Jangan terhasut bisikan-bisikan halus dalam hati yang mengatakan Allah tidak akan menerima taubat.  Dan janganlah pula terikut dengan ajakan nafsu agar taubat itu ditangguhkan ke suatu masa yang akan datang.

Semoga ayat-ayat di atas menyerap ke dalam dada kita untuk ia dijadikan tanda aras kita supaya apabila kita terlencong atau tersasar dari jalan kebenaran, yakni jalan menuju keredhaan Allah, kita segera dapat berhenti dan pusing kembali masuk semula ke jalan yang benar.  Sungguh, pada kalam-kalam Allah dan Rasulnya terdapat kekuatan yang luar biasa buat orang-orang yang beriman, juga kepada orang-orang yang belum beriman.

Allah sayangkan kita semua.  Allah mahukan kita semua masuk ke dalam Syurganya.  Allah maahu berjumpa kita dalam keadaan DIA redha dan kita redha.  Allah alu-alukan taubat kita.  Justeru, bertaubatlah sekarang.  Jangan tangguh lagi.

Semoga Allah memberikan kita semua akan hidayah dan taufiqnya.

والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)

كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: 
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)