Saturday, October 27, 2012

Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains



PENGENALAN BUKU



Tajuk Buku                              : Kitab Tauhid Diperakui Oleh Fakta Sains

Penulis                                    : Abdul Majid Aziz Az-Zindani

Terbitan                                  : Pustaka Salam



Buku ini membincangkan persoalan tauhid menggunakan pendekatan sesuai dengan keadaan semasa. Menemukakan contoh-contoh supaya objektif yang dikehendaki dan digarapkan oleh al-quran serta disarankan oleh para ulama dapat dicapai. Ianya mengaitkan fakta agama dengan bukti daripada kejadian alam yang sememangnya terlalu banyak. Buku ini membahaskan ilmu tauhid yang membuktikan kebenaran akidah Islam berdasarkan sumber aqli dan naqli.



Pembaca akan mendapati beberapa fakta sains berkenaan alam sejagat ini yang belum diketahuinya. Penggunaan ayat al-Quran yang berkaitan dengan tajuk perbincangan kerana hanya ayat al_Quran yang dapat mensabitkan hujah akal dan memberi kesan kepada pemikiran secara paling maksimum.



RINGKASAN KANDUNGAN BUKU

Buku ini mempunyai tiga jilid yang digabungkan menjadi satu buku:



Jilid Satu

Fasal 1 : Ilmu Tauhid

Fasal 2 : Kepentingan ilmu tauhid dalam Islam

Fasal 3 : Kepentingan ilmu tauhid dalam kehidupan manusia

Fasal 4 : bagaimanakah kita mengenali Allah

Fasal 5 : Manusia hendaklah melihat kepada makanannya

Fasal 6 : Air yang terapung

Fasal 7 : Kita hidup dalam lautan udara

Fasal 8 : Kediaman dan kedamaian

Fasal 9 : Para rasul Allah dan bukti pengutusan mereka

Fasal 10 : Ringkasan mukjizat Nabi Muhammad s.a.w

Fasal 11 : Kefasihan dan Balaghah Al-Quran

Fasal 12 : Al-Quran mendahului ilmu moden

Fasal 13 : Beriman dengan hari akhirat

Fasal 14 : Suasana hari akhirat

Fasal 15 : beriman kepada malaikat, kitab dan rasul

Fasal 16 : beriman kepada qadar



Jilid Dua

Fasal 1 : Kepentingan beriman kepada Allah dan rasul-Nya

Fasal 2 : Kepentingan beriman kepada Malaikat dan Kitab

Fasal 3 : Kepentingan beriman kepada Hari Akhirat dan takdir baik dan buruk

Fasal 4 : Tututan dan syarat

Fasal 5 : Makhluk Allah: Cerminan kekuasaan san sifat-sifat-Nya

Fasal 6 : “Pada diri kamu sendiri, mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan?”

Fasal 7 : Nikmat bergerak

Fasal 8 : “Makanan Kita

Fasal 9 : Dan Kami telah mengadakan lampu yang terang benderang”

Fasal 10 : Manusia memerlukan rasul

Fasal 11 : Kisah orang terdahulu

Fasal 12 : Dia mengetahui rahsia dan bisikan mereka

Fasal 13 : Kamu akan mengetahui kebenaran perkara yang diterangkan tidak lama lagi

Fasal 14 : Keajaiban al-Quran pada zaman ini

Fasal 15 : Kematian

Fasal 16 : Kehidupan alam barzakh

Fasal 17 : Keadaan hari kebangkitan



Jilid Tiga

Fasal 1 : Bahaya kekufuran

Fasal 2 : Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahui

Fasal 3 : Addakah boleh dilihat merupakan syarat untuk beriman

Fasal 4 : Dia menjadikan bumi terbentang luas untuk kamu

Fasal 5 : Mengapa mereka tidak memandang ke langit

Fasal 6 : Allah Yang Maha Esa

Fasal 7 : Ikhlas dalam ibadat

Fasal 8 : Al-Asma’ Al-Husna

Fasal 9 : Pengakuan para ilmuan kurun ke-20

Fasal 10 : Ilmu al-Quran mendahului ilmu moden

Fasal 11 : Antara tanda kerasulan: berita gembira

Fasal 12 : Pertolongan Allah

Fasal 13 : Keraguan yang batil

Fasal 14 : Hakikat kehidupan





BIODATA PENULIS : SYEIKH ABDUL MAJID AZIZ AZ-ZINDANI



Sheikh Abdul Majid bin Abdul Aziz Az Zindani dilahirkan pada tahun 1938 di kampung Az Zuhbi, wilayah Ibb di Republik Yaman dan memperolehi pendidikan awal di Kuttab sebelum menyambung pelajaran di sekolah kerajaan di wilayah Aden. Selepas itu, beliau menamatkan pengajian di Fakulti Famasi Universiti Al Azhar di Mesir. Kerana minat yang mendalam terhadap ilmu agama, beliau mengambil kesempatan bertemu dan belajar dengan ulama-ulama besar Al Azhar dan tokoh-tokoh pelajar Yaman yang berada di sana seperti Az Zubairi dan Abduh Muhammad Al Mikhlafi.


             Seterusnya kembali ke Yaman di Sana'a dan dilantik sebagai seorang pendidik di Kementerian Pendidikan. Di sinilah beliau mula berminat untuk menulis kitab akidah berasaskan saintifik bersama sahabat-sahabat beliau yang lain. Hasil tulisan beliau telah dijadikan sukatan di sekolah rendah dan menengah di seluruh Yaman.


            Pernah dilantik menjadi tenaga pengajar di Arab Saudi. Ketika berada di Makkah, beliau telah mengasas Badan 'Ijaz Ilmu Sains Al Quran dan Hadis. Beliau juga merupakan pengasas Universiti Iman Yaman, Presiden Majlis Syura Perhimpunan Islah Yaman dan salah seorang pengasas Ikhwanul Muslimin Yaman.


           Hasil kajian yang dilakukan terutama dalam bidang sains telah mendapat perhatian dan beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti Oum Darman, Sudan. Beliau juga berjaya menemui penawar bagi penyakit AIDS dan telah ditemu ramah oleh Al Jazeera. Kaedah perubatan beliau hanyalah menggunakan herba dan tumbuhan semulajadi. Kajian selama 15 tahun itu mampu mengubati pesakit AIDS dalam tempoh tiga bulan dan boleh merawat 15 pesakit dalam satu-satu masa.


        Syeikh Zindani juga pernah turun berjihad di Afghanistan bagi merealisasikan ucapan-ucapan beliau berkenaan jihad dalam majlis-majlis usrah kendalian beliau. Selain cemerlang dalam bidang pendidikan, beliau juga seorang peniaga dan penternak yang berjaya. Syeikh Zindani sering menjadi sasaran musuh sehinggakan beliau disediakan kereta kalis peluru sebagai pakej keselamatan.


          Begitulah sejarah hidup secara ringkas Syeikh Zindani. Salah satu cetusan pemikiran Syeikh Zindani yang mengagumkan saya ialah perumpaan yang beliau beri antara orang yang beriman dan kufur.



PANDANGAN TENTANG BUKU INI



Lalat lebih hebat daripada kita. Para penyelidik mendedahkan bahawa lalat dibekalkan kelenjar air liur yang panjang dan mempunyai air liur yang amat banyak. Apabila lalat mengambil sesuatu makanan, air liur dikeluarkan dengan cepat bagi menukarkan nya segera kepada bahan lain. Sekiranya kita bunuh lalat tersebut, kemudian kita pegang dan cari benda yang diambilnya, nescaya kita tidak akan dapat mencari benda tersebut kerana ia telah bertukar kepada benda lain. Ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal lalat.


“…dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak akan dapat mengambilnya balik darinya…” (al-Hajj: 73-74)


Semut dapat mendengar dan bercakap. Al-Quran telah menyebut bahawa semut dibekalkan degan organ pendengaran dan percakapan. Ilmu entomology (kajian tentang serangga) saintis mendapati semut dibekalkan dengan organ pendengaran dan percakapan yang membolehkan mereka berkomunikasi antara satu sama lain. Al-Quran menyebut hal ini yg bermaksud: Berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari” (an-Naml: 18)


Di akhir Ayat 25 Surah Ibrahim, Allah SWT menegaskan tujuan perbandingan dilakukan supaya kita berfikir dan mengkaji kepentingan akidah yang kukuh.


Orang yang mempunyai asas akidah yang mantap, seumpama pokok yang rimbun dan kukuh. Iman mereka umpama akar pokok yang mencengkam bumi dengan kuat sehingga tiada ribut, taufan atau angin yang mampu mencabutnya. Pohonnya yang rendang memayungi semua orang yang berada di sekelilingnya. Ia menghasilkan buah-buahan yang manis, enak berkhasiat dan menyegarkan. Bahkan buah-buahannya turut menjadi santapan kepada keluarga, rakan, jiran tetangga dan masyarakat.


Mereka tidak mudah digoyahkan oleh persekitaran yang negatif, tidak tumbang iman kerana desakan hidup atau habuan dunia. Apabila bekerja, mereka bekerja dengan amanah. Andai menjadi majikan, mereka menjadi majikan yang prihatin dan simpati terhadap pekerja bawahan. Sekiranya berniaga, mereka tidak akan mengamalkan rasuah atau penipuan. Mereka mengeluarkan zakat perniagaan dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.


Sebaliknya, orang yang tidak beriman atau tidak kukuh imannya ibarat pokok yang tidak berguna. Akarnya lembut hingga mudah tercabut. Dedaunnya terlalu sedikit untuk orang lain berteduh dibawahnya. Buah-buahan yang dihasilkannya juga tidak berguna kerana pahit, busuk dan tidak boleh dimakan.


Walaupun luarannya nampak hebat, tetapi dalaman mereka rosak. Apabila diberikan amanah memimpin, mereka mencabulnya demi mengejar nama dan pangkat. Jika berniaga, mereka menipu dan mengamalkan rasuah. Masyarakat sekeliling tidak mendapat manfaat daripada mereka, malah orang sekelilingnya menerima tempias bahana perbuatan jahat mereka.


“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (an-Nisaa’ :58)


Seseorang akan merasai kelazatan iman, jika dia merasai bahawa Allah s.w.t sebagai Rabbnya, jika meredai bahawa Islam ialah agamanya, dan meredai bahawa Muhammad s.a.w ialah seorang Nabi (Allah) (Hadis Muslim)


Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang mempunyai kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui tingkah-laku, percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah masyarakat. Akidah Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati sesseorang akan menimbulkan kesan-kesan positif.

 Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam di zaman Nabi saw dan para Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh akidahnya. Lantaran itu mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari menghayati Akidah Islam yang sebenar. 

No comments:

Post a Comment