Monday, June 18, 2012

Bilakah Masa Sebenar Untuk Kita Berehat...



السلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Suatu hari, anak Imam Ahmad bin Hanbal iaitu Abdullah bin Ahmad bertanya kepada bapanya akan satu soalan: “Wahai bapaku, bilakah masanya kita betul-betul boleh berehat?”

 
Sambil memandang lembut ke dalam mata anaknya, Imam Ahmad bin Hanbal dengan penuh hikmah dan tenang lalu menjawab soalan anaknya itu:  “Kita hanya betul-betul boleh berehat apabila kaki kita sudah melangkah masuk ke dalam Syurga.”

 
Janji Allah dalam firmanya:

Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya dibawa ke dalam syurga berombong-rombongan (pula). Sehingga apabila mereka sampai ke syurga itu sedang pintu-pintunya telah terbuka dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya: "Kesejahteraan (dilimpahkan) atasmu, berbahagialah kamu! maka masukilah surga ini, sedang kamu kekal di dalamnya". Azzumar-73
Jawapan yang dilontarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal kepada anaknya di atas telah betul-betul menjentik hati kita tatkala mendengarnya .  Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang akan  selalu terngiang di dalam benak kita terutama ketika datang perasaan mahu berehat-rehat dan bermain-main.  Nasihat ringkas tapi mendalam dengan makna dan nilai yang diucapkan oleh Imam Ahmad ini dapat menepuk kita supaya sedar akan hakikat kehidupan di dunia ini.  Kita di dunia ini selalu sangat banyak berehat dan mencari masa untuk berehat.   Sedangkan dunia bukanlah tempat untuk kita berehat.  Ia tempat untuk kita bersungguh-sungguh mencari bekal buat perjalanan menuju Hari Akhirat.

وَأُدْخِلَ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ تَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلامٌ
Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal saleh ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka dalam surga itu ialah "salaam" -Ibrahim 23

Fokus kebanyakan kita adalah dunia,  dunia.  Ramai di kalangan kita yang mencari kerehatan di dunia.  Melepaskan setiap masa yang berlalu tanpa diisi dengan sesuatu yang bermanfaat untuk Hari Akhirat.  Sepatutnya setiap masa yang terluang diisi dengan sesuatu yang bermanfaat.  Paling kurang pun ialah mengingati Allah samada di dalam hati atau mengucapkan kalimah-kalimah dzikir Allah.Janji Allah lagi kepada orang yang beriman:

مَثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوْا وَعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ 
Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa ialah (seperti taman). mengalir sungai-sungai di dalamnya; buahnya tak henti-henti, sedang naungannya (demikian pula). Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa; sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.-Arra'd 35

Sebab itu kita selalu mendengar dan melihat para ulama saban siang dan malam mengisi masa mereka dengan sesuatu yang penting untuk Islam.  Bukan sahaja amalan-amalan fardhu mereka kerjakan, bahkan amalan-amalan sunat sentiasa mengisi masa terluang mereka.  Siang mereka, mereka isi dengan mengajar ilmu, berpuasa dan berjuang di jalan ALLAH.  Malam mereka, mereka isi dengan bacaan al-Quran, solat sunat dan tahajjud kepada ALLAH.  Sedangkan kita jarang sekali ingin menyusahkan diri dengan ibadah-ibadah.

Betapa jauh sekali iman kita dengan mereka.  Mereka sanggup bersusah payah di dunia ini, berkorban harta dan melepaskan waktu rehat mereka, semata-mata untuk mendapatkan tempat rehat yang mereka idamkan iaitu Syurga.  Dan itulah jalan yang ditempuhi oleh semua orang-orang soleh sejak zaman Nabi sallAllahu `alaihi wasallam hinggalah Hari Qiamat.

Tentang hakikat dunia ini, Rasulullah  pernah menasihati Ibnu `Umar sambil memegang bahu Ibnu `Umar yang maksudnya:
“Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau penyeberang jalan.” (HR al-Bukhari)
Hadis ini bermaksud bahawa dunia ini bukanlah tempat kita untuk bersenang-lenang dan bukan juga destinasi kita.  Orang asing atau penyeberang jalan tidak akan duduk rehat lama di kawasan yang bukan tempat tinggalnya.  Dia pasti mahu meneruskan perjalanan dengan sungguh-sungguh menuju ke kampung halamannya.  Dan kampung halaman bagi orang-orang beriman ialah Syurga.  Ke sanalah tempat tuju dan idaman kita.

Semoga Allah memberikan hidayah dan taufiq buat kita, ahli keluarga kita  semua kita tentang hakikat kehidupan ini.  Betapa Hari Akhiratlah tempat tujuan kita.  Di dunia ini bukan tempat berehat kita.  Ia tempat kita singgah dan mencari sebab keredhaan Allah melalui amalan-amalan soleh.  Di Syurga nantilah tempat kita semua tuju dan berehat selama-lamanya.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتُ النَّعِيمِ
خَالِدِينَ فِيهَا وَعْدَ اللَّهِ حَقًّا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh, bagi mereka surga-surga yang penuh kenikmatan, Kekal mereka di dalamnya; sebagai janji Allah yang benar. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.-Luqman 8-9

Semoga Allah mengurniakan kita semua akan redhanya dan Syurganya.  Dan semoga saya dan kita semua dilindungi Allah dari kemarahannya dan Nerakanya, amin…

والله أعلم بالصواب والله تعالى أعلىو أعلم

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
(٢ :سورة المائدة)
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.(Al-Maidah:2)
كلمتان خفيفتان علي اللسان ثقيلتان في الميزان حبيبتان إلي الرحمن سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
 
2 kalimah yang ringan di lidah,berat di atas neraca timbangan
dan disukai oleh Allah Tuhan Yang Maha Pengasih ialah:
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
SUBHANALLAH WABIHAMDIHI,SUBHANALLAHIL AZEEM
Maha suci Allah dan Segala  Puji Baginya , Mahasuci Allah Yang Maha Agung
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment